Make your own free website on Tripod.com

CADANGAN PENYELIDIKAN

 Seseorang penyelidik perlu menyediakan cadangan penyelidikan terlebih dahulu sebelum projek penyelidikan dilaksanakan. Cadangan boleh disediakan secara ringkas atau terperinci mengikut keadaan tertentu. Sekiranya penyelidikan yang akan dijalankan adalah persendirian, cadangan penyelidikan bolehlah disediakan secara ringkas sahaja, sebaliknya jika penyelidikan itu memerlukan peruntukan luar, bantuan kewangan, material dan tenaga - cadangan penyelidikan perlulah disediakan dengan terperinci.

 Tujuan cadangan penyelidikan disediakan adalah untuk dinilai oleh pihak penganjur bagi tujuan pembiayaan dan kelulusan. Cadangan penyelidikan juga perlu dibentangkan sebagai kertas kerja dalam seminar untuk diteliti dari pelbagai aspek terutamanya dari segi metodologi.

 Sesuatu cadangan penyelidikan yang terperinci perlulah mempunyai perkara berikut:

1. Tajuk Penyelidikan

 Menerangkan secara ringkas dan tepat tentang masalah dan skop kajian. Sebaik-baiknya hadkan perkataan tidak melebihi sepuluh perkataan sahaja. Elakkan penggunaan rangkai kata seperti ‘Suatu kajian...’ atau ‘ Suatu analisis...’

2. Kenyataan Masalah

 Tujuan penyelidikan adalah untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau mencari jawapan kepada sesuatu persoalan. Dalam kenyataan masalah, perlu dinyatakan sedikit latarbelakang perkara yang hendak diselidiki seperti sejarah, yang berhubung dengan masalah itu. Juga dinyatakan mustahaknya masalah yang dikaji dan implikasinya jika dibiarkan begitu sahaja. Tujuan kenyataan masalah juga adalah untuk cuba mengorientasikan pemikiran atau menarik perhatian pembaca kepada masalah yang mahu diselesaikan dalam penyelidikan kita. Ia juga bertujuan untuk menguatkan kepentingan masalah yang dikaji. Oleh itu kenyataan masalah bertujuan untuk meyakinkan penyelia atau penaja yang akan membiayai penyelidikan. Dalam kenyataan masalah juga kita perlu menekankan tajuk penyelidikan yang telah dipilih itu benar-benar berguna kepada pihak-pihak tertentu. Jika cadangan penyelidikan itu ditujukan kepada penaja, kenyataan masalah tidak perlu terlalu panjang, cukup satu paragraf sahaja. Tetapai jika untuk tujuan ilmiah, maka kenyataan masalah perlu ditulis dengan panjang lebar, merangkumi banyak aspek dan mengandungi data perangkaan serta maklumat-maklumat yang berdokumentasi. Cara penulisan juga perlulah secara ilmiah. Faedah kenyataan masalah ialah membantu kita menyediakan objektif penyelidikan dan keseluruhan kenyataan masalah tadi dapat dijadikan sebahagian dari laporan penyelidikian kelak iaitu dalam Bab1 di bawah pendahuluan atau pengenalan.

 Elakkan daripada membesar-besarkan kepentingan masalah tersebut secara berlebihan.

3. Objektif Penyelidikan

 Objektif penyelidikan meliputi aspek-aspek yang hendak dicapai atau dilaksanakan dalam sesuatu penyelidikan. Biasanya disebut objektif umum (matlamat) dahulu sebelum dituliskan objektif khusus. Objektif khusus adalah bersifat lebih terperinci, tegas dan berkaitan rapat dengan objektif umum. Objektif penyelidikan perlulah;

4. Hipotesis/soalan kajian

Hipotesis adalah ramalan atau andaian yang berdasarkan kepada logik. Soalan kajian adalah alternatif kepada hipotesis sekiranya hipotesis tidak dapat dibentuk dari tajuk penyelidikan.

5. Kesignifikanan kajian

Menghubungkan kepentingan penyelidikan dengan kehidupan seharian.

6. Ulasan Bahan rujukan.

 Penyelidik perlu membuat penyelidikan perpustakaan (literature research) untuk menentukan samada penyelidik lain pernah membuat kajian yang sama, atau yang ada hubungan dengan tajuk yang telah dipilih. Ini dapat mengelakkan pertindihan tajuk/bidang/skop penyelidikan berlaku. Semasa menulis cadangan penyelidikan, ulasan bahan rujukan, penyelidik tidaklah perlu menulis dengan panjang lebar, cukup sekadar ringkasan mengenai kedudukan ilmu pengetahuan masa kini mengenai tajuk yang telah dipilih, merangkumi teori mengenai perkara yang sama, baik di kawasan itu atau kawasan lain di Malaysia dan luar negeri. Keutamaan harus diberikan kepada karya-karya tempatan atas tajuk yang sama atau hampir sama. Jika tidak ada, tinjaulah karya-karya luar negeri.

7. Metodologi atau Kaedah

Metodologi penyelidikan ialah bagaimana tiap-tiap satu objektif penyelidikian itu hendak dicapai. Metodologi penyelidikan perlulah menyatakan;

 

8. Anggaran Belanjawan dan Jadual Kerja

 Ialah butiran tentang perbelanjaan yang dijangka akan ditanggung oleh penaja atau penyelidik bagi menjalankan kajian. Jadual kerja yang terperinci diperlukan supaya penaja atau penyelia dapat mengikuti perkembangan penyelidikan yang sedang dijalankan oleh penyelidik. Perlu dinyatakan tarikh sesuatu kerja yang akan dilaksanakan seperti merangka soalselidik, menemu ramah, menghantar soalselidik dan mengumpulkannya, pengolahan data dan menulis laporan.

 

Ringkasan:

  1. Tajuk Penyelidikan
  2. Kenyataan Masalah
  3. Objektif Penyelidikan
  4. Hipotesis/soalan kajian
  5. Kesignifikanan kajian
  6. Ulasan Bahan Rujukan
  7. Metodologi/Kaedah penyelidikan
  8. Anggaran Belanjawan dan Jadual Kerja

Susunan cadangan penyelidikan (proposal) mengikut bab:

Bab 1: 1 hingga 5

Bab 2: 6

Bab 3: 7 dan 8